Adab Masuk Tandas Serta Doa

masuk tandas

Tandas adalah tempat seseorang itu melepaskan hajat yakni tempat pembuangan najis. Walau nampak bersih ianya dianggar tempat najis termasuk tempat adanya para syaitan. Kerana itulah Islam telah menggariskan beberapa adab masuk tandas serta keluar daripadanya yang perlu diamalkan.

Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa, kadang kala ketika masuk tandas kita sering terlupa atau memang tidak mengamalkan perkara penting ini termasuk membaca doa masuk tandas dan doa keluar tandas.

Sebenarnya, menjaga adab ketika masuk tandas serta sewaktu keluar sangat banyak kelebihan dan kebaikan serta kita dapat menjaga kebersihan selain turut membentuk peribadi yang baik sebagai seorang muslim.

Mungkin ada yang masih tidak tahu tandas adalah tempat tinggal syaitan dan iblis, ia ibarat istana makhluk Allah ini. Dengan membaca doa tandas pastinya kita dapat menghindari daripada gangguannya.

ADAB MASUK TANDAS

Berikut adalah antara adab-adab ketika masuk tandas dan keluar daripadanya berserta dengan bacaan doa yang perlu diamalkan.

1. Elakkan Bawa Ayat Suci al-Quran

Ketika masuk tandas, kita dilarang membawa ayat-ayat suci al-Quran ke dalam tandas atau sebarang benda yang tertera kalimah Allah atau yang mengandungi ayat zikir dan seumpamanya. Ini termasuk kertas yang tertulis surah-surah tertentu atau cincin yang mempunyai kalimah suci.

Dan jangan lupa telefon juga terkadang mempunyai ayat Al-Quran serta nada dering selawat nabi dan sebagainya yang harus dielakkan dari dibawa ke dalam tandas.

2. Membaca Doa Masuk Tandas

Sebelum melangkah masuk ke dalam tandas, bacalah doa di bawah ini. Mudah-mudahan kita terhindar dari gangguan syaitan:

doa masuk tandas

3. Menutup Kepala

Kita disunatkan untuk menutup kepala sewaktu memasuki bilik air atau tandas. Perkara ini telah diterangkan dengan jelas berdasarkan riwayat oleh Imam Al-Baihaqi Rahimahullah yang bermaksud:

“Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau”.

(lihat Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96)

Malahan ada hadis lain yang menyentuh berkaitan menutup kepala ketika masuk ke tandas bersandarkan kepada Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina A’ishah R.anha yang bermaksud:

“Adalah Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya”.

Riwayat Al-Baihaqi (464)

Walau bagaimanapun, hadis yang disampaikan oleh Aishah R.anha ini dikatakan sebagai dhoif oleh sebahagian ulama hadis tetapi ia dibolehkan berpandukan fadhilat dalam beramal selagi tidak melanggar syariat Islam.

4. Masuk Dengan Kaki Kiri

Tidak ramai yang mengambil ketika memasuki tandas bagaimana cara-cara melangkah masuk. Asalkan dapat masuk sudah cukup untuk melepaskan hajat itu. Namun adalah disunatkan kita mendahului dengan kaki kiri ketika memasuki tandas.

Perkara ini berdasarkan daripada hadis Saiditina Aishah R.anha yang bermksud:

 “Daripada Aisyah R.anha berkata bahawa tangan kanan Rasulullah SAW dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis”. (Sunan Abu Daud)

ada masuk tandas
Masuklah tandas dengan bermula kaki kiri dengan memakai alas kaki atau selipar

5. Memakai Selipar atau Alas Kaki

Memakai kasut atau selipar dan alas kaki yang bersesuaian adalah salah satu daripada adab-adab ketika masuk ke tandas. Tindakan ini dapat mengatasi anggota badan kita daripada terdedah dengan sebarang kotoran.

Lebih tepat lagi kita dapat melindungi kaki daripada terkena air kotor seperti air kencing serta dapat mengelakkan daripada sebarang jangkitan kuman yang tidak dapat dilihat.

Malahan terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Habib bin Salih R.a di bawah yang bermaksud:

“Adalah Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya”.

Riwayat Al-Baihaqi (465)

Hadis di atas juga dikatakan sebagai dhoif tetapi sekiranya mengamalkannya dengan betul selain tidak melanggar ajaran Islam adalah sangat digalakkan.

6. Tidak Membelakangi atau Menghadap Kiblat

Ini adalah sunnah dan adab apabila ketika membuang air kecil atau besar dengan tidak menghadap kiblat serta membelakanginya. Rasulullah SAW melarang ‘qada hajat’ dengan menghadap kiblat sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud seperti di bawah yang bermaksud:

Marwan al-Asfar berkata; “Aku pernah melihat Ibn Umar (yakni seorang sahabat Nabi) merendahkan untanya menghadap kiblat, lalu dia duduk dan membuang air kecil dalam keadaan menghadapnya.”

Lalu aku bertanya: “Wahai Abu Abdurrahman (gelaran untuk Ibn Umar), bukankah hal ini telah dilarang?”

Dia menjawab: “Benar, akan tetapi hal itu dilarang jika dilakukan di tempat terbuka. Apabila antara dirimu dan kiblat ada sesuatu yang menutupimu, maka itu tidaklah mengapa.”

(Riwayat Abu Daud, Hadis No: 11).

Ini bermaksud larangan tersebut adalah untuk tempat yang terbuka. Namun jika terdapat
halangan seperti dinding atau pintu, maka ia tidak dilarang.

7. Menjimatkan Penggunaan Air

Amalan membazir adalah cara syaitan. Jimatlah air termasuk sewaktu menyucikan hadas besar atau kecil. Adalah amat mulia jika diamalkan selain kita boleh menjimatkan kos pengeluaran air. Janganlah memandang mudah hal ini apa lagi kita menggunakan secara percuma kerana bil ditanggung leh orang lain samada orang tua kita atau majikan.

Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 27  yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan, sedang syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

adab dalam tandas
Jangan biarkan air mengalir tanpa sebab ketika kita menggunakan tandas

8. Beristinjak Guna Tangan Kiri

Istinjak adalah merujuk kepada seseorang yang bersucikan diri daripada kotoran najis selepas membuang air kecil atau pun besar. Kita hendaklah beristinjak dengan menggunakan tangan kiri seperti mana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang jelas daripada Abdillah bin Abi Qatadah daripada ayahnya serta daripada Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya, dan jangan beristinjak dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas dalam bekas minuman”.

Riwayat al-Bukhari (154)

9. Elakkan Bersembang dan Tidak Bercakap

Tidak bercakap atau berkata-kata di dalam tandas juga antara salah satu adab ketika berada dalam tandas, tujuannya pula adalah supaya kita tidak berada terlalu lama di dalamnya dan memberikan peluang kepada pengguna lain yang lebih memerlukan untuk melepaskan hajat sekiranya kita menggunakan tandas awam.

10. Tidak Jawab Salam

Adalah tidak wajib untuk kita menjawab salam sewaktu berada di dalam tandas atau sedang membuang air dan hukumnya adalah makruh. Jika sudah tahu seseorang itu berada di dalam tandas, tunggulah sehingga ia keluar jika ingin memberi salam kepadanya.

11. Menjaga Kebersihan Tandas

Amalan menjaga kebersihan walau berada di mana pun adalah menunjukkan keperibadian seseorang yang beragama Islam. Begitu juga menjaga kebersihan tandas samada sebelum atau selepas menggunakannya.

Islam amat menggalakan semua umatnya menjaga kesucian dan kebersihan tidak kira di mana sekalipun malahan dalam Islam kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman seseorang.

ADAB KELUAR TANDAS

Dalam Islam, bukan sahaja ketika memasuki tandas perlu menjaga adab dan berdoa. Malahan ketika hendak keluar sekalipun, ada doa dan adab-adabnya. Antaranya adalah:

12. Keluar Guna Kaki Kanan

Melangkah keluar dari tandas dengan mendahului kaki kanan selepas selesai melepaskan hajat sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Mendahului kaki kanan dalam segala perbuatan baik sememangnya sangat banyak kelebihannya. Daripada Saidatina Aishah R.anha berkata:

“Nabi Muhammad SAW amat menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya”.

Riwayat al-Bukhari (168)

Hadis di atas menceritakan bahawa Nabi SAW sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam melakukan perkara yang baik. Keluar daripada tandas juga dikategorikan sebagai perbuatan yang baik kerana kita dianjurkan agar menyelesaikan urusan di dalam tandas dengan kadar segera.

Ingatlah bawah perbuatan kita seperti bercakap-cakap, menyanyi, bersiul dan sebagainya  di dalam  tandas adalah tidak digalakkan kerana ia merupakan salah satu tipu daya untuk manusia itu sentiasa lalai dalam mengingati Allah SWT termasuk ketika berada di dalam tandas.

13. Baca Doa Keluar Tandas

Sepertimana masuk, ketika keluar dari tandas juga hendaklah dibaca doa keluar tandas. Doa hendaklah baca ketika anda sudah berada di luar tandas seperti di bawah:

Artikel Lain: Doa Naik Kenderaan Agar Perjalanan Selamat

PENUTUP

Sebagai seorang Islam sebaiknya kita amalkan perkara yang membawa kebaikan termasuk seperti mana yang telah diajarkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sangat mengharapkan semua umatnya berbuat demikian demi untuk kesucian dan kebersihan.

Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa kita sering terlupa tentang ini dan tidak membaca doa masuk dan keluar tandas serta tidak menjaga adab-adab ketika berada di dalamnya.

Sumber: Mufti Wilayah, Aku Muslim

Jadi selepas membaca artikel ini, sebelum masuk tandas ingatlah apa yang perlu dilakukan. Masih belum terlambat untuk kita semua mengamalkannya dengan bermula pada hari ini serta mungkin akan menjadi kebiasaan selepas berulang kali kita amalkan pada setiap hari.

Semoga di usia kita yang entah ke berapa tahun ini, ketika masuk tandas kita telahpun mengamalkan doa dan adab-adab sejak dulu lagi. Adalah rugi jika dalam usia puluhan tahun ini, kita sekalipun tidak membaca doa masuk tandas serta keluar daripadanya dan menjaga adab-adabnya. Wallahu a’lam. – Media Islamik

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *