Panduan Ringkas Solat Witir

solat witir

Solat Witir adalah penutup kepada segala solat. Ia dilakukan setelah solat Isyak sehingga menjelang subuh. Solat ini dikerjakan sebagai pelengkap kepada solat Tahajjud (setiap hari) atau solat Tarawih di bulan Ramadhan.

Solat Sunat Witir

KENAPA DINAMAKAN WITIR

Namanya adalah kerana bilangan rakaatnya yang ganjil. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir sebab Allah itu Witir (Ganjil / Maha Esa) dan suka sekali kepada ganjil.” – Diriwayatkan oleh Ahmad Ash hab al-Sunan, al-Tirmidzi dan Hakim.

BILANGAN RAKAAT

Solat Sunat Witir boleh dikerjakan 1, 3, 5, 7, 9 atau yang paling banyak adalah 11 rakaat. Dilakukan sebanyak 2 raka’at dengan satu salam dan diakhiri dengan 1 rakaat atau 3 rakaat dengan 1 salam (1 tahiyyat 1 salam / tiada tahiyyat awal).

solat sunat witir

HUKUM SOLAT WITIR

Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika Baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akhirilah solat malam mu itu dengan Solat Witir.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim RA.

Sekiranya anda rasa bahawa anda mungkin tidak akan terbangun untuk mengerjakan solat Tahajjud pada malam tersebut kerana sebab-sebab tertentu seperti letih dan sebagainya, maka anda boleh terus mengerjakan solat Witir setelah selesai mengerjakan solat Isyak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang merasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi kepada sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.” – Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Bermakna, solat witir yang dilakukan pada akhir malam itu adalah lebih baik dari selepas solat isyak. Namun jika tidak mengerjakan langsung maka amat malang bagi kita.

FADHILAT SOLAT WITIR

1. Sesiapa yang mengerjakan atau mengamalkan solat sunat Witir akan turut disaksikan oleh para Malaikat.

2. Ia lebih utama daripada solat-solat sunat Rawatib yang lain.

3. Menurut sunnah, sesiapa yang mengamalkannya akan memperolehi syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.

CARA MENGERJAKAN

SOLAT WITIR 2 RAKA’AT

1. Lafaz niatnya pada setiap dua rakaat pertama:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ للهِ تَعَالَىٰ

“Usollii Sunnatal Witri Rok’ataini Lillaahi Ta’aala”

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat witir dua raka’at, kerana Allah Ta’ala”.

2. Selepas membaca Surah Al-Fatihah:

Raka’at Pertama: Surah Al-A’laa
Raka’at Kedua: Surah Al-Kafiruun

3. Selesai memberi salam, terus berdiri untuk mengerjakan Witir satu raka’at.

SOLAT WITIR 1 RAKA’AT

1. Lafaz niat pada satu raka’at terakhir:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَةً للهِ تَعَالَىٰ

“Usollii Sunnatal Witri Rok’atan Lillaahi Ta’aala”

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat witir satu raka’at, kerana Allah Ta’ala”.

2. Selepas membaca surah Al-Fatihah pada rakaat terakhir ini, bacalah ‘Surah Mu’awwizat’ seperti berikut:

a) Al-Ikhlas,
b) Al-Falaq; dan
c) An-Naas.

SOLAT WITIR 3 RAKA’AT

1. Lafaz niat Witir 3 raka’at:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْوِتْرِثَلَاثَ رَكَعَاتٍ لِلّٰهِ تَعَالَىٰ

“Usollii Sunnatal Witri Thalatha Roka’atin Lillaahi Ta’aala”

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat witir tiga raka’at, kerana Allah Ta’ala”.

2. Selepas membaca Surah Al-Fatihah:

  • Raka’at Pertama: Surah Al-A’laa
  • Raka’at Kedua: Surah Al-Kafiruun.
    **Pada raka’at kedua ini, lakukan seperti raka’at pertama tanpa tahiyyat awal sebelum berdiri untuk meneruskan raka’at terakhir.
  • Raka’at Ketiga: Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.

WIRID DAN DOA SELEPAS SOLAT WITIR

1. Selesai memberi salam, disunatkan mengucapkan ucapan dibawah sebanyak 3 kali:

سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُوْسِ

“Subhaanal Malikil Qudduus”

Ertinya: “Maha Suci Tuhan Yang Maha Kudus (Suci)”.

Zikir di atas dibaca tiga kali. Padakali yang ketiga (terakir) hendaklah menaikkan suara.

“Rasulullah SAW setelah salam dari solat witir berkata: Subhanallah Malikil Qudduus sebanyak tiga kali dan meninggikan suaranya pada zikir yang ketiga.” – Hadis dari Ubay bin Ka’ab.

2. Kemudian baca kalimah di bawah sekali”

رَبِّ الْمَلآ ئِكَةِ وَالرُّوْحِ

“Robbil Malaa Ikati Warruuh”

Ertinya: “Tuhan Yang Menguasai Malaikat dan Roh”.

3. Seterusnya boleh dibaca doa-doa berikut sebanyak 3 kali:

اَللّٰهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Allaahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii”

Ertinya: “Ya Allah! Bahawasanya Dikaulah Tuhan yang memberi keampunan dan Dikaulah Tuhan yang suka memberikan keampunan. Oleh itu ampunilah daku”.

اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ اَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّةَ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ

“Allaahumma Innii As-aluka Ridhooka Waljannah, Wa-a ‘Uuzubika Min Sakhotika Wannaar”.

Ertinya: “Ya Allah! Sesungguhnya daku memohon Keredhaan-Mu dan Syurga-Mu dan daku memohon Perlindungan-Mu daripada Kemurkaan-Mu dan seksaan neraka”.

DOA SOLAT WITIR

اَللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَا فَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَىٰ نَفْسِكَ

“Allaahumma Innii A-‘uuzu Biridhooka Min Sakhotika Wabimu-‘aa Fatika Min “Uquubatika Wa A-‘uuzubika Minka Laa Uhsii Thanaa-an ‘Alaika Anta Kamaa Ath-naita ‘Alaa Nafsik”.

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku berlindung dengan kemaafanMu daripada BalasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu.

اَللّٰهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا دَائِمًا، وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا، وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَنَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَادِقًا، وَنَسْأَلُكَ عَمَلًا صَالِحًا، وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا، وَنَسْأَلُكَ الْغَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْعَافِيَةِ، وَنَسْأَلُكَ الشَّكْرَعَلَى الْعَافِيَةِ، وَنَسْأَلُكَ الْغِنَىٰ عَنِ النَّاسِ

اَللّٰهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلَاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَتَخَشَّعَنَا وَتَضَرَّعَنَا وَتَعَبَّدَنَا، وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا اللّٰهُ، يَا اللّٰهُ، يَا اللّٰهُ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

وَصَلَّى اللّٰهُ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَىٰ اٰلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ، وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

“Allaahumma Innaa Nas-aluka iimaanan Daaimaa, Wanas-aluka Qolban Khoosyi’aa, Wanas-aluka ‘ilman Naafi’aa, Wanas-aluka Yaqiinan Soodiqoo, Wanas-aluka ‘Amalan Soolihaa, Wanas-aluka Diinan Qoyyimaa, Wanas-alukal ‘Afwa Wal ‘Aafiyah, Wanas-aluka Tamaamal ‘Aafiyah, Wanas-alukassyakro ‘Alal ‘Aafiyah, Wanas-alukal Ghinnaa ‘Aninnaas.

Allaahumma Robbanaa Taqobbal Minnaa Solaatanaa, Washiyaamanaa, Waqiyaamanaa, Watakhosy-sya ‘Anaa, Watadhorro ‘Anaa, Wata ‘Abbadanaa, Watammim Taqshiironaa Yaa Allaah, Yaa Allaah, Yaa Allaah, Yaa Arhamar Roohimiin.

Washollallaahu ‘Alaa Sayyidina Muhammadin Wa-‘alaa Aalihi Washohbihi Ajma’iin, Subhanaa Robbika Robbil ‘izzati ‘Ammaa Yashifuun, Wasalaamun ‘Alal Mursaliin, Walhamdu Lillaahi Robbil ‘Aalamiin”.

Ertinya:

“Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon daripada Engkau keimanan yang berkekalan. Kami memohon daripada Engkau hati yang khusyuk (teguh dan sebulat hati).

Kami memohon daripada Engkau ilmu yang bermanfaat. Kami memohon daripada Engkau keyakinan yang benar. Kami memohon daripada Engkau amalan yang soleh (patut).

Kami memohon daripada Engkau agama yang berkualiti. Kami memohon daripada Engkau keampunan dan kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kesihatan yang sepenuhnya.

Kami memohon daripada Engkau rasa syukur ke atas kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kekayaan.

Ya Allah! Terimalah solat kami, puasa kami, Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Yang Paling Pengasih di antara yang mengasihani.

Selawat dan salam sejahtera Allah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya.

Maha Suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam”.

Baca – Senarai Lengkap Solat Sunat

PENUTUP

Hadiah Daripada Allah

Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memberikan hadiah yang sangat bernilai ini untuk kita. Sangat mudah untuk hamba-hamba-Nya mencari syurga dengan  mengambil manafaat ini.

Sumber: Shafiqolbu dan Aku Islam

Oleh itu jangan sesekali kita tinggalkan solat Witir. Lakukanlah walaupun hanya 1 atau 2 raka’at. Namun biarlah secara berterusan kerana amalan yang berterusan walau sedikit sangat disukai oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *