Rukun Solat (Panduan Ringkas)

rukun solat

Semua maklum bahawa terdapat 13 rukun solat dalam dalam rukun itu terdapat 3 rukun khusus. Ramai juga dikalangan kita menunaikan solat tetapi hanya ikut-ikutan kerana tidak faham cara solat yang sebenar. Perkara rukun jika ditinggalkan salah satu daripadanya maka ianya akan membatalkan solat seseorang.

Rukun Solat

Rukun solat ada 13 perkara seperti penerangan yang diberikan di bawah.

1. Niat.

Niat merupakan lintasan di dalam hati ketika mahu memulakan solat. Anda dikira tidak berniat jika hanya lidah yang melafazkan, tetapi tidak diikuti dengan lintasan atau ingatan di dalam hati.

Niat solat perlu dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram. Niat sekurang-kurangnya merangkumi 3 perkara iaitu:

  • Qasad (ﻗﺼﺪ) iaitu solat semata-mata.
  • Ta’arudh (ﺗﻌﺮﺽ) iaitu jenis fardhu
  • Ta’yin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) iaitu menentukan waktu solat yang hendak didirikan sama ada Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak.

Sebagai contohnya apabila seseorang hendak mendirikan solat Maghrib, memadai dia berniat “Sahaja aku solat fardu Maghrib”.

2. Berdiri Betul.

Berdiri betul bermaksud berdiri tegak dan lurus iaitu tulang belakang tegak dengan dada yang menghadap ke arah kiblat. Disunatkan menundukkan sedikit kepala dan memandang ke arah tempat sujud.

Jika tidak mampu untuk berdiri betul kerana beberapa masalah yang tidak dapat diealakkan, bolehlah menunaikan solat mengikut cara yang termampu. Solatlah dengan berdiri, sekiranya tidak mampu maka dengan duduk dan sekiranya tidak mampu, maka dengan berbaring.

3. Takbiratul Ihram.

Takbiratul Ihram adalah melafazkan kalimah “Allahu Akbar” untuk memulakan solat dengan suara yang dapat didengar sekurang-kurangnya oleh diri sendiri.

Lafaz ini tidak boleh ditukar dengan lafaz lain dan hanya dilafazkan dalam bahasa arab sahaja. Lafaz ini juga perlu dibuat dalam satu nafas sambil memasang niat solat.

4. Membaca Surah Al-Fatihah.


Tidak sah solat jika tidak membaca Surah Al-Fatihah.

5. Rukuk.

Rukuk adalah dengan membongkokkan badan dan kepala ke hadapan sehingga sama rata dengan punggung dengan kedua telapak tangan ditekapkan pada kedua lutut.

Adalah disunatkan berdoa atau bertasbih sewaktu rukuk. Sekiranya tidak tahu, diam seketika yakni sekadar masa membaca “Subhanallah” sekali. Diam seketika itu dinamakan tamakninah.

6. I’tidal.

I’tidal ialah berdiri tegak selepas rukuk. Perlu ada tamakninah dalam keadaan berdiri tegak sebelum meneruskan rukun solat seterusnya iaitu sujud.

7. Sujud.

Sujud ialah merendahkan diri dan tunduk. Sujud yang minimum adalah meletakkan dahi yang terdedah di tempat solat. Tapak tangan ditekapkan rata pada tempat sujud bersetentang dengan bahu.

Sujud dilakukan dua kali untuk setiap rakaat. Sujud yang sempurna adalah dengan meletakkan semua tujuh anggota sujud di atas lantai.

Ketujuh-tujuh anggota sujud adalah dahi, kedua telapak tangan, kedua lutut dan
Kedua belah kaki. Sunat meletakkan hidung ketika sujud. Sujud juga wajib dilakukan dengan tamakninah.

8. Duduk Antara Dua Sujud.

Maksudnya adalah duduk sebentar selepas sujud pertama sebelum melakukan sujud yang kedua dalam setiap rakaat. Ia juga perlu dilakukan dengan tamakninah.

Duduk antara dua sujud hendaklah dilakukan secara iftirasy iaitu membaringkan tapak kaki kiri dan duduk diatasnya sementara tapak kaki kanan ditegakkan dengan anak-anak jari dihadapkan ke kiblat.

Manakala kedua telapak tangan diletakkan di atas kedua-dua paha dengan hujung jari berada hampir dengan pangkal lutut.

9. Duduk Ketika Tahiyat Akhir.

rukun solat ada 13

Duduk tahiyat akhir ialah duduk ketika membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam. Duduk ini dilakukan secara tawarruk dan kedua-dua tangan diletakkan di atas paha.

10. Membaca Tahiyat Akhir.

Tahiyat akhir dibaca ketika duduk tahiyat akhir. Ia merupakan ucapan penghormatan yang merangkumi dua sebutan iaitu:

Ungkapan memuji Allah SWT yang dimulai dengan:

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَواتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ

Ucapan salam:

اَلسَّلَامُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ

اَلسَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَالِحِيْنَ

Diakhiri dengan lafaz syahadah:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّآللّٰهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللّٰهِ

11. Selawat Ke Atas Nabi.

Membaca selawat ke atas Nabi SAW yang menjadi rukun solat adalah semasa duduk tahiyat akhir iaitu selepas melafazkan dua kalimah syahadah. Nabi Muhammad SAW juga berselawat ke atas dirinya semasa Baginda mendirikan solat.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

12. Memberi Salam.

salam merupakan penutup bagi solat. Sekurang-kurangnya dengan lafaz “Assalamualaikum”.

13. Tertib.

Setiap rukun solat wajib dilaksanakan dengan tertib iaitu mengikut turutan.

Namun ia terkecuali untuk perkara rukun yang dilakukan serentak seperti takbiratul ihram bersama niat, berdiri tegak sambil membaca al-Fatihah dan duduk tahiyat akhir semasa membaca tahiyat, tasyahud dan selawat.

Kategori Rukun Solat

Harus diingatkan juga bahawa dalam 13 rukun solat itu dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu Rukun Qalbi, Rukun Fi’li dan Rukun Qauli.

1. Rukun Qalbi – rukun ke atas pekerjaan hati.
2. Rukun Fi’li – rukun ke atas pergerakan, perbuatan atau gerak kerja.
3. Rukun Qauli – rukun ke atas ucapan atau kata-kata di mulut.

Ramai dikalangan kita memahami tentang 2 rukun pertama iaitu Rukun Qalbi dan Rukun Fi’li namun ramai yang gagal mematuhi Rukun Qauli terutamanya ketika menjadi makmum dalam solat.

Rukun Qalbi

Perkara yang terdapat dalam rukun qalbi ada dua, iaitu:

1.Niat
2.Tertib

Rukun Sembahyang
Niat adalah Ruku Qalbi

Rukun Fi’li

Seperti yang telah diterangkan di atas, rukun fi’li adalah rukun pergerakan, perbuatan atau gerak kerja. Dalam rukun fi’li pula terbahagi kepada 6 rukun iaitu:

1. Berdiri atau qiam.
2. Rukuk.
3. I’tidal.
4. Sujud.
5. Duduk antara dua sujud.
6. Duduk tahiyat akhir.

Jika terlupa atau tertinggal diantara rukun-rukun fi’li ini, maka perlu berpatah balik kepada rukun tersebut.

Sebagai contoh jika seseorang terlupa rukuk pada rakaat pertama, tetapi dia tersedar ketika telahpun melakukan rukuk di rakaat yang ke-2, maka rukuknya ketika itu menjadi rukuk untuk rakaat yang pertama. Dan perbuatan sebelumnya itu tidak dikira (menjadi lagha).

Rukun sembahyang 13 perkara
Rukuk adalah termasuk dalam Rukun Fi’li

Rukun Qauli

Rukun qauli merupakan perkataan atau bacaan yang wajib didengari oleh telinga sendiri setiap kali bacaan itu dilafazkan. Jika seseorang itu tertinggal satu huruf ketika solat, maka wajiblah diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan Rukun Qauli Yang Sering Berlaku

Ramai dari kalangan kita tidak kira lah samada ketika solat bersendirian atau ketika solat berjemaah, sering membaca bacaan-bacaan dalam solat hanya di dalam hati.

Mungkin kita beranggapan solat kita sah, namun kita harus ada rasa bimbang dan khuatir nanti solat kita tidak sah.

Ada juga yang membaca bacaan solat hanya di bibir. Namun yang keluar dari mulut hanya bunyi angin tetapi tidak mengeluarkan bunyi bacaan.

Berikut adalah 5 Rukun Qauli yang selalu kita gagal lakukan dengan betul ketika solat:

1. Ucap takbir (Allahu Akbar) tanpa menyebut atau melafaz dengan jelas di bibir.
2. Tidak membaca Surah Al-Fatihah secara lafaz.
3. Tidak membaca Tahiyat Akhir secara lafaz.
4. Tidak membaca selawat ke atas Nabi secara lafaz pada Tahiyat Akhir.
5. Tidak memberikan salam (Assalamualaikum Warahmatullah) dengan secara lafaz.

membaca al fatihah
Membaca Al-Fatihah termasuk dalam Rukun Qauli

Apa Maksud Menyebut dan Melafaz?

Dalam Rukun Qauli kita perlu menyebut atau melafaz bacaan yang perlu disebut dan dilafaz sehingga boleh didengari oleh telinga kita sendiri. Hanya cukup untuk telinga kita sendiri. Ianya tidak wajib ke atas semua bacaan dalam solat kecuali pada 5 tempat ini iaitu:

1. Semasa Takbiratul Ihram.
2. Semasa membaca Surah Al-Fatihah.
3. Semasa membaca Tahiyat Akhir.
4. Semasa membaca selawat ke atas Nabi pada rakaat terakhir.
5. Semasa melafaz salam.

Baca: Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat

Segeralah kita perbaiki 5 Rukun Qauli ini untuk menjadikan solat kita sah dan sempurna. Jika diri kita sendiri merasakan solat yang dilakukan selama ini tidak sempurna atau tidak sah, perlulah kita segera:

1. Bertaubat memohon keampunan dari ALLAH SWT dan jangan mengulangi lagi kesalahan yang sama.

2. Tuntutlah ilmu, belajar lah, buat ulangkaji dan jangan sesekali terasa atau melenting apabila ditegur. Yang penting kita wajib memperbaiki diri kita dari kesilapan sebelum ini.

Sumber: Aku Islam dan Myzakat

Carilah ilmu yang sebenar dan beramal dengannya agar kita tidak rugi di dunia apatah lagi di Akhirat nanti.

Sesunguhnya ALLAH SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Maha Pengampun. Semoga bermanfaat buat semua. InsyaAllah. – Media Islamik

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *