Solat Dhuha & Doa (Panduan Ringkas)

solat dhuha

Solat Sunat Dhuha

Solat Dhuha dikerjakan sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Allah SWT atas segala rezeki, kesenangan dan keberkatan hidup diterima.

Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah meninggalkan solat dhuha tanpa keuzuran. Umat Islam sangat dituntut untuk mengerjakannya. Nabi SAW tetap mengerjakannya paling sedikit adalah 2 raka’at dan paling banyak baginda kerjakan adalah 8 raka’at.

Pentingnya Solat Dhuha

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sesekali kamu malas mengerjakan empat raka’at solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga ke petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)

Abu Hurairah RA pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan iaitu puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan dua raka’at Dhuha dan Solat Witir sebelum tidur.”

Manakala Abu Dzar RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Masing-masing di antara kamu setiap pagi hendaklah bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka setiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, tahmid adalah sedekah, tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh berbuat kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti kepada semua itu, cukuplah sekadar mengamalkan 2 raka’at solat Dhuha.” (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

solat dhuha dan doa
Laksanakan dengan istiqomah sudah tentu akan mendapat ganjaran dari Allah SWT

Waktu Solat Dhuha

Waktu untuk mengerjakan Solat Sunat Dhuha adalah ketika matahari sedang naik. Sekira faktor cuaca menjadi halangan, tiada masalah kerana zaman ini sudah disediakan taqwim waktu solat. Anda boleh merujuk di situ.

Masanya adalah 28 minit selepas Syuruk. Sebagai contoh sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah dengan 28 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi.

Itulah waktu yang paling afdal untuk dikerjakan Solat Sunat Dhuha iaitu dalam anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda; “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.” (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).

Cara Mengerjakan Solat Dhuha

1. Lafaz Niat:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ الضُّحَىٰ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالَىٰ

“Usolli Sunnatadh Dhuhaa Rak’ataini Lillahi Ta’aala”

Ertinya: “Aku solat Sunat Dhuha dia raka’at kerana Allah Ta’ala”.

2. Antara bacaan surah yang dianjurkan selepas membaca Al-Fatihah adalah:

Solat sunat Dhuha 2 raka’at

  • As-Syams dan Ad-Dhuha, atau;
  • Al-lail dan Al-Insyirah, atau;
  • Ayatul Qursi 10 kali dan Al-Ikhlas 10 kali.

Solat Dhuha lebih daripada 4 raka’at

  • Solat Pertama : As-Syams dan Ad-Dhuha.
  • Solat Seterusnya : Surah al-Kafirun dan Al-Ikhlas

3. Ketika sujud terakhir sebelum bangun untuk tahiyyat akhir, bacalah sebanyak 40 kali:

وَهَبْ لِىْ يَاوَهَّابُ عِلْمًا وَحِكْمَةً وَارْزُقْنِىْ يَارَزَّاقُ كُنْ لِىْ مُسَهَّلًا

“Wa-hab Lii Yaa Wahhaabu ‘ilmanw  Wahkmatanw Warzuknii Yaa Rozzaaqu Kun Lii Musahhala”

Ertinya: “Berilah daku wahai Yang Maha Pemberi ilmu dan hikmah dan kurniakanlah daku wahai Yang Maha Pengurnia, jadi mudahkanlah daku”

4. Selepas memberi salam, bertasbihlah sebanyak 10 kali seperti di bawah:

سُبْحَانَ اللّٰهِ وَالْحَمْدُلِلّٰهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَاللّٰهُ اَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللّٰهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ، عَدَدَ خَلْقِ اللّٰهِ وَبِدَوَامِ مُلْكِ اللّٰه

“Subhanallaahi Walhamdulillaahi Walaa Ilaaha Ilallaahu Wallaahu Akbar, Walaa Haula Walaa Quwwata Illaa Billaahil ‘adziim, ‘Adada Kholqillaahi Wabidawaami Mulkillaah”

Ertinya: “Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung sebanyak ciptaan Allah dan selama kekalnya kekuasaan Allah”.

5. Kemudian Berdoa dengan doa seperti di bawah:

اَللّٰهُمَّ إِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاؤُكَ وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ. اَللّٰهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِى السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ وِإِنْ كَانَ فِى الْاَرْضِ فَأَخْرِجْهُ وِإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ وِإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ وِإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ وِإِنْ كَانَ قَرِيْبًا فَيَسِّرْهُ بِحَقِّ ضُحَاءِكَ وَبَهائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا أَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

“Allahumma Innadhuhaa-a Dhuhaa-uka Walbahaa-a Bahaa-uka Waljamaala Jamaaluka Walquwwata Quwwatuka Walqudrota Qudrotuka Wal-‘Ismata ‘Ismatuka. Allahumma Inkaana Rizqii Fissamaa-i  Fa-anzilhu Wa-inkaana Fil-ardhi Fa-akhrijhu Wa-inkaana Mu’siron Fayassirhu Wa-inkaana Harooman Fatohhirhu Wa-inkaana Ba-‘iidan Faqoribhu Wa-inkaana Qoriiban Fayassirhu Bihaqqi Dhuhaa-ika Wabahaa-ika Wajamaalika Waquwwatika Waqudrotika Aaatinii Maa Ataita ‘Ibaadakas Soolihiin”

Ertinya: ” Ya Allah! Sesungguhnya waktu Dhuha itu adalah waktu Dhuha-Mu, Keindahan itu adalah Keindahan-Mu, Kecantikan itu adalah Kecantikan-Mu, Kekuatan itu adalah Kekuatan-Mu, Kekuasaan itu adalah Kekuasaan-Mu dan Perlindungan itu adalah Perlindungan-MU. Ya Allah! Jika rezekiku masih di langit maka turunkanlah dan jika ada di bumi makan keluarkanlah, jika sukar senangkanlah, jika haram sucikanlah dan jika masih jauh maka dekatkanlah serta jika telah dekat maka mudahkanlah. Berkat waktu Dhuha-Mu, Keindahan-Mu, Kecantikan-Mu, Kekuatan-Mu, Kekuasaan-Mu dan Perlindungan-Mu. Limpahkanlah kepada kami sebagaimana yang telah Dikau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”

رَبَّنَا آتِنَافِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَّفِى ٱلْاٰخِرَةِ حَسَنَةً وَّقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ. لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِا اللّٰه. وَصَلَّى اللّٰهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ. وَٱلْحَمْدُلِلّٰهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِيْنَ

“Robbanaa Aatinaa Fiddunyaa Hasanatanw Wafil Aakhiroti Hasanatanw Waqinaa ‘Azaa Bannaar. Laa Ilaha illa Anta Walahaula Walaa Quwwata illa Billah. Wasollallahu ‘Ala Sayyidinaa Muhammadin Wa-‘ala Aalihi Wasohbihi Wasallam. Walhamdu Lillaahi Robbil ‘Aalamiin”

Ertinya: “Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari azab neraka. Tiada Tuhan melainkan Dikau dan tiada padaku daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah. Semoga Allah limpahkan selawat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan para sahabatnya kesejahteraan. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”.

Fadhilat Solat Dhuha

Solat Dhuha mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya. Seseorang yang mengerjakannya akan memperolehi keampunan dari Allah SWT, dimurahkan rezekinya serta beroleh ketenangan jiwa serta kehidupan yang baik.

Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa Yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqomah nescaya akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”

Nabi SAW bersabda: “Di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.” (HR At-Tabrani)

Dari Nuwas bin Sam’an, Nabi SAW bersabda: “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.” (HR. Haklim dan Tabrani).

Baca – Solat Sunat Rawatib

Sumber: Safilqolbu

Semoga artikel dari sumber Safiqolbu dan daripada buku bacaan ini bermanfaat untuk kita semua. Sesungguhnya untuk melakukan Solat dhuha itu tidaklah mengambil masa kita yang agak lama. Wallahu a’lam.

Kongsikan

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *