Solat Sunat Nikah (Panduan Mudah)

solat sunat nikah

Selepas selesainya Majlis Akad Nikah, disunatkan untuk mempelai mengerjakan Solat Sunat Nikah sebanyak dua rakaat. Tujuannya adalah untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah yang telah memberikan anda jodoh sebagai pasangan hidup.

Setelah akad nikah, kedua-dua pengantin (terutamanya pengantin lelaki) disunatkan untuk mengerjakan solat sunat nikah.

Jumlah Raka’at

Jumlah rakaat bagi solat sunat nikah adalah sebanyak dua rakaat dan dituruti dengan sujud syukur selepas mengerjakannya.

CARA SOLAT SUNAT NIKAH

Berikut adalah cara-cara mengerjakan Solat Sunat Akad Nikah. Kami sediakan dalam Bahasa Arab dan Melayu bagi memudahkan anda untuk membaca dan memahaminya.

Lafaz Niat

أُصَلِّيْ سُنَّةَ ٱلْعُرُوْسِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَىٰ

“Usolli Sunnatal ‘Uruusi Rak’ataini Lillaahi Ta’ala”

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat nikah (berkahwin) dua raka’at kerana Allah Ta’ala”.

Bacaan Surah

1. Raka’at Pertama: Selepas membaca Surah Al-Fatihah bacalah Surah Al-Kaafirun.
2. Raka’at Kedua: Selepas membaca Surah Al-Fatihah bacalah Surah Al-Ikhlas.

Sujud Syukur

Selepas memberi salam, lakukan Sujud Syukur. Cara untuk sujud syukur adalah seperti di bawah:

1. Anda hendaklah dalam keadaan berwuduk, berdiri mengadap kiblat. Seterusnya takbir (Allahu Akhbar) dan berniat:

“Sahaja aku mengerjakan sujud syukur kerana Allah Taala”.

2. Seterusnya teruk bersujud sekali tanpa perlu rukuk. Semasa bersujud, tidak ada bacaan khusus tetapi disunatkan bertasbih atau memuji Allah seperti di bawah:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُلِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ اَكْبَرُ

“Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaha illallah Wallahuakhbar”

Ertiya: “Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar”.

3. Kemudian duduk dan memberi salam.

Nota – Anda boleh terus lakukan sujud syukur selepas akad tanpa mengerjakan solat sunat nikah jika anda ingin lakukan di sebelah malam nanti.

Doa Selepas Solat

Kemudian dibaca doa nikah yang bersesuaian. Boleh sahaja dibaca doa dalam bahasa Melaysia seperti di bawah:

“Ya Allah! Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah! Kami bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan ini, Kami memohon pada-Mu Ya Allah agar diberi keberkatan kepada pernikahan kami ini, jadikanlah kami suami isteri sebagai orang-orang yang soleh.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mu kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Berikanlah padaku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah aku kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.

Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Anugerahkanlah kepada kami anak-anak yang ramai, soleh dan solehah. Anugerahkanlah kepada kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagian rumahtangga kami.

Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Anugerahkanlah kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang tidak halal.Jadikanlah kami serta bakal anak-anak kami sebagai orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa kepada-Mu. Berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.

Ya Allah! Anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Peliharalah kami kami dari sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang zahir mahupun yang batin.

Ya Allah! Berkatilah umur kami, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.

Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),

Dikau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah!” (3 kali)

Memegang Ubun-Ubun Isteri Serta Berdoa

Pengantin lelaki disunatkan memegang ubun-ubun isteri selepas akad nikah dan berdoa. Dianjurkan agar suami meletakkan tangannya di ubun-ubun si isteri ketika pertama kali mendekatinya.

Caranya ialah dengan suami meletakkan telapak tangan kanannya di atas puncak kepala isteri (biasanya selepas solat sunat nikah berjemaah bersama-sama di malam pertama) dan membaca doa memohon kepada Allah SWT agar perkahwinan mereka diberkati.

Doanya adalah seperti berikut:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوْذَ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

“Allahumma inni As-aluka Min Khairihaa Wakhairi Maa Jabaltaha ‘alaih. Wa-a’uuzabika Min  Syarrihaa Wasyarri Maa Jabaltahaa ‘alaih”.

Boleh juga dibaca doa ini di dalam Bahasa Malaysia:

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.”

Baca – Senarai Solat Sunat

Semoga artikel Solat Sunat Nikah ini bermanfaat kepada anda. Sila kongsikan.

Sumber: Aku Islam

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *