Solat Sunat Tahiyatul Masjid (Panduan Ringkas & Mudah)

solat sunat tahiyatul masjid

Tujuan Solat Sunat Tahiyatul Masjid dikerjakan adalah bagi menghormati masjid. Ia dikerjakan sebaik sahaja memasuki masjid sebanyak dua rakaat. Dilaksanakan sebelum seseorang itu melakukan sesuatu perkaran lain atau duduk.

Fadhilat Solat Sunat Tahiyatul Masjid

1. Melatih orang ramai agar meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
2. Menyuburkan perasaan menghormati segala makhluk Allah SWT.
3. Meningkatkan ketenangan jiwa dan perasaan.
4. Mendidik diri muslim itu agar lebih berdisplin.
5. Memperolehi pahala yang berlipat kali ganda.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila salah seorang diantara kamu memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim)

Jika semasa anda tiba di masjid, solat fardhu akan dimulakan hanya beberapa minit saja lagi, adalah memadailah jika terus mendirikan solat sunat sebelum solat fardhu (Qabliyah). Ianya sudah memadai kerana dikira sebagai memenuhi tuntutan Solat Sunat Tahiyatul Masjid.

Sebuah riwayat lain juga menyebut, “Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk hingga mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Adalah memadai jika seseorang itu tidak mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid tetapi terus mengerjakan solat sunat qabliyah atau solat wuduk, kerana hadis di atas berbentuk umum, iaitu ‘mendirikan solat dua rakaat’.

Namun jika berkesempatan, adalah wajar anda mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid kerana ia akan menambahkan lagi amal kebaikan disamping memberatkan lagi timbangan amal di akhirat.

PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA TIBA DI MASJID

Secara tertibnya, apabila anda tiba di masjid lakukan perkara berikut semasa mahu melangkah masuk ke dalamnya.

1. Anda disunatkan membaca Doa Masuk Ke Dalam Masjid seperti berikut:

DOA MASUK MASJID

ٱللَّهُمَّ اغْفِرْلِى ذُنُوْبِى وَافْتَحْ لِى أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Allahummaghfirlii Zunuubii Waftahlii Abwaaba Rohmatika

“Wahai Allah, Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu-pintu Kurniaan-Mu dan Rahmat-Mu”.

2. Berniat ‘Iktikaf di dalam masjid seperti berikut:

NIAT ‘IKTIKAF

نَوَيْتُ الْإِعْتِكَافِى هَذَا الْمَسْجِدِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitul ‘iktikafa Fii Hazalmasjidi Lillaahi Ta’aalaa

“Daku ber’iktikaf dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala”

3. Sampai sahaja di tempat yang anda ingin duduk (tempat solat), eloklah dibaca Istighfar seperti di bawah bagi menambahkan lagi kekuatan dalam hati bagi menghadapi gangguan syaitan:

ISTIGHFAR SEBELUM DUDUK

أَعُوْذُبِاللَّهِ الْعَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

A’uuzu Billaahil ‘Aziimi Wabiwajhihil Kariimi Wasultoonihil Qodiimi Minash Syaitoonir Rojiim

“Daku berlindung kepada Allah Yang Maha Besar, dengan mengahadap kepada Kemurahan dan Kekuasaan-Nya daripada syaitan yang terkutuk”

Jangan terus duduk, sebolehnya terus mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid.

CARA SOLAT SUNAT TAHIYATUL MASJID

Cara melakukannya adalah sama dengan solat-solat sunat yang lain sebanyak dua raka’at. Namun niat sahaja membezakan solat-solat yang kita lakukan.

1. Lafaz Niat

LAFAZ NIAT SOLAT

أُصَلِّى سُنَّةَ تَحِيَّةُ الْمَسْجِدِ رَكْعَتَيْنِى لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnata Tahiyyatul Masjidi Rok’ataini Lillaahi Ta’aalaa

“Daku menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dua raka’at kerana Allah Ta’ala”

Niat hendaklah dibaca di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram.

2. Bacaan Surah

Selepas membaca Surah Al-Fatihah bacalah surah Al-Kafirun pada raka’at pertama dan Surah Al-Ikhlas pada raka’at yang kedua.

3. Berzikir

Selepas selesai menunaikan solat sunat tahiyatul masjid, bacalah zikir di bawah sebanyak 100 kali:

ZIKIR SELEPAS SOLAT SUNAT TAHIYATUL MASJID

رَبِّ اغْفِرْلِى وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ

Robbighfirlii Watub ‘Alayya Innaka Antat Tawwaabur Rohiim

“Ya Tuhanku! Ampunilah bagiku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Dikaulah Tuhan Yang Maha Menerima Taubat Lagi Maha Mengasihani”

Sebelum Azan berkumandang, teruskan berzikir dengan lain-lain seperti Istighfar, tasbih, tahmid dan lain-lain.

PERMASALAH AN BERKAITAN SOLAT SUNAT TAHIYATUL MASJID

1. Jika anda memasuki masjid dan terus duduk dengan sengaja, maka tiada lagi Solat Sunat Tahiyatul Masjid bagi anda.

2. Jika seseorang itu duduk kerana terlupa, ianya ada 2 keadaan iaitu:

Terlupa sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat.
Terlupa dalam jangka waktu yang agak lama, kemudian baru teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun bersolat.

3. Jika anda masuk ke masjid pada ketika azan sedang berkumandang, berdirilah dan menjawab azan terlebih dahulu sehingga selesai, kemudian lakukan solat sunat Rawatib yang dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan Solat Sunat Tahiyatul Masjid.

4. Anda masuk ke dalam masjid ketika Khatib sedang membaca khutbah atau majlis ilmu sedang dijalankan, seeloknya kerjakan dulu solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum duduk. Tuaikan seringkasnya iaitu mengambil perkara rukun sahaja. Rasulullah SAW pernah menegur orang yang masuk ke masjid dan tidak menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid kerana khutbah Jumaat sedang dibaca.

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk.

Rasulullah SAW pun berkata kepadanya:

“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

5. Jika seseorang itu:

-Tidak dapat mengerjakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid atas beberapa sebab seperti solat jemaah sudah dimulakan; atau
-Dia telah duduk; atau
-Dia hanya masuk sebentar sahaja untuk sesuatu perkara:

Dianjurkan dia membaca ‘Subhanallah Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar’ sebaganyak 3 kali.

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: “Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi, kecuali solat wajib.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Jika anda sedang Solat Sunat Tahiyatul Masjid dalam raka’at pertama, dalam masa yang sama para jemaah mula mendirikan solat fardhu, maka anda wajib batalkan solat sunat tersebut dan segera menyertai solat fardhu.

Ada tegahan daripada Rasulullah SAW dalam perkara tersebut: “Apabia didirikan solat fardhu, maka tiada solat ketika itu melainkan solat fardhu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, jika dia sudah berada di rakaat kedua, percepatkan dan sempurnakan rukun-rukun yang berbaki sehingga memberi salam dan segera sertai jemaah dalam solat fardhu.

JIKA DUDUK DI LUAR MASJID

7. Solat Sunat Tahiyatul Masjid tiada tuntutan sekiranya anda duduk di luar masjid seperti kaki lima, garaj, khemah sementara, kawasan parking dan sebagainya.

8. Sekiranya anda datang sewaktu imam sedang membaca khutbah, duduk, berdiam diri dan mendengar khutbah. Jika tiba sebelum imam memberi khutbah dan selepas azan pertama, maka boleh Solat Sunat Qabliyah.

JIKA BERADA DI MEKAH

9. Bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah, jika memasuki Masjidilharam hendaklah melakukan Tawaf sebagaimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan bukannya Solat Tahiyatul Masjid.

Kata Ibn Abbas r.a. “Tahiyat Kaabah ialah Tawaf”.

10. Bagi mereka yang telah bermukim di Makkah dan datang ke masjid untuk solat, menuntut ilmu dan seumpamanya, sebaik-baiknya mereka hendaklah melaksanakan Solat Sunat Tahiyatul Masjid bukannya mengerjakan Tawaf.

Sumber: Shafiqolbu

Adalah rugi jika kita ke masjid namun kita tidak mengerjakan Solat Tahiyatul Masjid ini. Sesungguhnya setiap ibadah itu mempunyai fadhilat dan manfaat kepada kita. Lupakan gajet semasa berada di dalam masjid dan memberi tumpuan kepada ibadat yang sangat mudah ini. Semoga ianya bermanfaat kepada anda dan diri saya sendiri. والله أعلم بالصواب

mediaislamik.com mengalu-alukan teguran daripada anda semua kerana kita semua masih dan akan terus belajar kerana ilmu yang ada pada kita (admin sendiri) sangatlah kurang. Setiap teguran atas apa jua kesilapan akan dibuat pembetulan dan penembahbaikan dari masa ke semasa.

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *