Solat Sunat Wuduk dan Kelebihannya

solat sunat wuduk

Adalah disunatkan bagi seseorang mukmin itu bagi mengerjakan Solat Sunat Wuduk setelah selesai berwuduk (mengambil air sembahnyang). Solat ini juga dikenali sebagai Solat Syukur Wuduk dan dikerjakan sebanyak dua rakaat.

Solat Sunat Wuduk

Solat Sunat Wuduk tergolong sebagai solat sunat ‘muqayyad’ atau solat bersebab yang dikaitkan waktunya dengan berwuduk. Ia boleh dikerjakan walaupun dalam waktu larangan daripada mengerjakan solat sunat.

solat sunat wudhuk

Solat sunat wuduk merupakan salah satu solat sunat yang disyariatkan dan tsabit sandarannya di sisi syarak. Ia berdasarkan kepada beberapa nas dari Rasulullah SAW. Antaranya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A.

Rasulullah S.A.W bertanya kepada Bilal bin Rabah yang bermaksud:

‘Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga”.

Bilal R.A menjawab pertanyaan Rasulullah SAW seperti berikut yang bermaksud:

“Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wuduk tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat.

Riwayat Al-Bukhari (1149)

Bagi mukmin yang menyempurnakan wuduknya lalu dia mengerjakan solat sunat wuduk dua rakaat dengan penuh khusyuk kerana Allah SWT, maka dia akan diampunkan dosa-dosa kecilnya terdahulu dan dimasukkan ke syurga.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada seorang pun yang berwuduk kemudian dia memperelokkan wuduknya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga”.

Riwayat Abu Daud (906)

Begitu juga dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk aku ini, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, yang mana dia tidak lalai di dalamnya, maka akan diampunkan dosa-dosa (kecilnya) yang terdahulu”.

Riwayat Al-Bukhari (1934)

Waktu Perlaksaan Solat

Sebahagian ulama berpendapat Solat Sunat Wuduk hendaklah dikerjakan sebaik sahaja seseorang itu selesai mengambil wuduk kerana berpendapat bahawa afdhalnya jika dilakukan selepas sahaja mengambil wuduk.

Manakala sebahagian yang lain pula mengulas tentang bila luputnya masa untuk mengerjakan solat sunat wuduk. Syeikh Al-Nasyiri menyatakan bahawa ia terluput apabila telah berlalunya tempoh yang panjang (tanpa mengerjakannya).

Sebahagian yang lain pula berpendapat tamat waktunya jika seseorang itu tinggalkan perlaksanaannya. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat bahawa ia tidak terluput sehinggalah seseorang itu berhadas. Pihak Mufti Wilayah lebih cenderung kepada pendapat ini memandangkan keadaan diri seseorang yang masih berada dalam keadaan berwuduk.

CARA SOLAT SUNAT WUDUK

Solat Sunat Wuduk sangat baik jika dapat dilakukan setiap kali selepas kita selesai mengambil wuduk.

1. Lafaz dan niatnya ialah:

Niat solat sunat wuduk

2. Bacaan surah selepas membaca Al-Fatihah:

Rakaat pertama: Surah Al-Ikhlas
Rakaat kedua: Surah An-Nas

KELEBIHAN SOLAT SUNAT WUDUK

Solat Sunat Wuduk memiliki kelebihan yang besar sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW seperti yang dinyatakan di atas. Antaranya adalah:

1. Diampunkan dosa-dosa kecil yang terdahulu
2. Akan dimasukkan ke dalam Syurga.

Sumber: Muftiwp & Shafiqolbu

Artikel Berkaitan: Solat Sunat

Semoga Bermanfaat

You May Also Like

About the Author: Anwar as-Sidqi

Kami berkongsi info berkaitan dengan islam kepada sesiapa sahaja yang berminat. Mudah-mudahan kita semua diberi ganjaran pahala dan saham akhirat nanti.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *